Sunday, October 25, 2009

Komunikasi Berkesan Guru Besar

Komunikasi Pengurusan
Komunikasi pengurusan ialah proses bagaimana Guru Besar berkongsi pengalaman dengan guru-guru, kakitangan sokongan, para pelajar dan masyarakat sekitar sekolah. Seseorang Guru Besar yang berkesan, popular, disukai ramai dan disanjung oleh oleh guru-guru, ibu bapa dan para pelajar, perkara yang diambil perhatian ialah kemahiran berkomunikasi.
Berkomunikasi bukan sekadar bercakap, malahan berdiam diri dan berpakaian juga jenis komunikasi. Guru Besar amat memerlukan kemahiran komunikasi pengurusan kerana beberapa faktor :
1. Menjalin hubungan
Dengan adanya kemahiran berkomunikasi, Guru Besar dapat menjalin hubungan mesra dengan semua pihak dan proses pengajaran – pembelajaran berjalan lancar.
Semua guru tidak rasa tertekan kerana adanya kemesraan daripada Guru Besar. Guru-guru merasakan diri mereka dihargai, dikasihi dan dimuliakan.
Semua pelajar lebih mudah berhubung dengan Guru Besar dan menyalurkan masalah tanpa ada sebarang sekatan. Apabila pelajar dapat menyatakan masalah, maka Guru Besar lebih mengetahui corak dan asas permasalahan di sekolah. Maka sebarang permasalahan, rasa tidak puas hati lebih mudah diselesaikan. Jadi komunikasi merupakan suatu pelepasan keluhan perasaan emosi dan memenuhi keperluan sosial.
Sebagai contoh, penyebaran risalah agama Kristian dalam kalangan pelajar Islam dan bukan Islam. Buku-buku "Bible New Testament" yang diedarkan di luar sekolah dan dibawa ke dalam kawasan sekolah tentu akan menimbulkan isu sensitif dalam kalangan pelajar terutama sekali dalam kalangan pelajar Muslim. Pelajar yang terlibat dapat memberitahu perkara itu dan tindakan dapat diambil dengan cepat. Contohnya melaporkan kepada pihak polis atau pihak berkuasa yang lain.
2.Saling faham memahami
Melalui kemahiran berkomunikasi, para Guru Besar lebih memahami situasi yang berlaku dalam pengurusannya. Pengurusan yang baik ialah hubungan mesra antara pentadbir dan orang bawahannya. Pihak atasan dapat memahami citarasa dan kehendak orang bawahan. Sementara pihak bawahan dapat mengetahui matlamat, objektif dan kehendak yang ingin dicapai oleh pihak atasan.
Segala maklumat sampai secara terus, tanpa melalui pihak ketiga. Komunikasi secara terus dan kerap adalah lebih baik. Jadi tidak akan berlaku penapisan maklumat. Tambahan pula maklumat boleh disampaikan secara formal dan tidak formal. Maklumat yang disampaikan secara tidak formal lebih memberi kesan di dalam ingatan.
Penyebaran maklumat lebih berkesan. Contohnya pengetahuan teknologi, latihan kerja, kewangan , pengurusan dan sebagainya. Pihak bawahan akan berfungsi lebih bebas, lebih kreatif, berkeyakinan dan penuh dedikasi.
Selain itu pembentukan matlamat akan lebih terarah dan terancang. Pembentukan matlamat yang merupakan perahan idea pengetua dan guru-guru akan lebih mujarab menyelesaikan masalah di sekolah . Dalam membuat keputusan , mesyuarat dan perbincangan mesti selalu diadakan. Alternatif yang dirumuskan akan diedarkan kepada semua bagi tujuan perbincangan dan maklumbalas. Apabila persetujuan dicapai, ia akan dimeteri , diedarkan dan dilaksanakan.

3. Mempengaruhi
Satu perkara yang tidak kurang penting ialah Guru Besar mempengaruhi orang bawahan secara lisan dan secara fizikal. Guru-guru dana para pelajar akan lebih kagum dan terarah fikirannya kerana ‘boss’ begitu dekat dengan mereka. Guru-guru dan pelajar dapat digerakkan untuk mengubah tingkalaku, minat dan bekerjasama ke arah peningkatan prestasi akademik dan ko kurikulum di sekolah.
Misalnya Guru Besar mahu guru-guru lain bekerjasama dan mematuhi idea yang hendak dilaksanakan seperti mengadakan Jogathon dan Jamuan amal. Aktiviti ini hanya akan berjaya jika mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para guru dan pelajar.
Komunikasi juga sebagai alat kawalan. Organisasi sekolah mempunyai hierarki, panduan yang formal yang perlu dipatuhi. Organisasi yang leper memudahkan maklumat disampaikan.
4. Membantu
Selain itu Guru Besar dapat membantu menyelesaikan masalah orang bawahan. Masalah peribadi dapat diluahkan tanpa rasa malu. Guru Besar akan bertindak sebagai fasilitator dan kaunselor. Prestasi guru-guru dan pelajar dapat ditingkatkan dengan memberikan dorongan dan bimbingan.
Contohnya Guru Besar dapat membantu masalah guru yang tidak dapat mengawal kelas dengan baik. Guru Besar atau guru disiplin menyiasat segera aduan guru tersebut. Pelajar yang nakal , bising dan tidak membuat latihan yang diberi, mestilah dikenakan tindakan yang sewajarnya.
5. Berseronok
Seterusnya komunikasi yang berkesan melahirkan rasa seronok bagi kedua-dua pihak. Pihak bawahan akan lebih megah kerana hubungan yang begitu akrab. Sementara Guru Besar sendiri mempunyai lebih banyak kawan, lebih banyak hubungan dan sentuhan.
Contohnya Guru Besar dapat memberi nasihat secara berjenaka dan jenaka tersebut dapat difahami dengan jelas , sedangkan isinya cukup pedas .
Ada beberapa halangan kepada komunikasi yang berkesan . Antaranya ialah :
Tanggapan yang berbeza antara satu dengan yang lain. Tindakan Guru Besar memuji seorang guru yang rajin akan ditanggap sebagai ‘cuba bodek’ oleh guru yang lain.
Perbezaan makna bahasa. Istilah yang sama yang digunakan oleh Guru Besar mungkin mempunyai maksud yang berbeza. Contohnya 'penyegan' - Maksud pertama ‘pemalu’ .Maksud kedua ‘pemalas’
Antara pemalu dan pemalas cukup jauh bezanya. Jadi Guru Besar harus mengelakkan istilah-istilah seperti ini.
Suasana bising mengganggu aliran maklumat ke dalam ingatan.
Emosi penghantar dan penerima mesej akan mencairkan maklumat. Mesej akan kehilangan makna jika kita sedang marah, sayang, benci, cemburu, takut dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment